Tuesday, October 6, 2009

Konsep kesepakatan BN dipertahan

KUCHING 6 Okt. - Konsep kesepakatan dan perkongsian bestari yang menjadi tanda aras dalam Barisan Nasional (BN) selama ini perlu dipertahankan, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurutnya, konsep tersebut telah lama teruji dan terbukti membuahkan hasil yang memberikan banyak manfaat kepada rakyat jelata.

Katanya, atas sebab itu juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sering mengingatkan parti-parti komponen BN supaya sentiasa berada dalam keadaan kukuh, bersatu dan baik bagi membina kekuatan untuk menghadapi pelbagai cabaran akan datang.

''Walau dalam keadaan macam mana sekalipun, kita jangan mengabaikan kepentingan hubungan baik parti-parti komponen ini dan betapa pentingnya setiap parti dalam komponen BN berada dalam keadaan yang kukuh.

''Kita mesti berusaha mempertingkatkan hubungan termasuk kepimpinan di peringkat Pusat sama ada dalam parti atau kerajaan bagi menyokong serta mendokong segala usaha dan dasar-dasar pembangunan yang mahu dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Ramah Tamah Aidilfitri dan Perasmian Mesyuarat Perwakilan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Peringkat Cawangan di Zon Kuching di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Lama di Petra Jaya di sini hari ini.

Pada majlis yang sama, kerajaan negeri turut menyerahkan sumbangan cek bernilai RM500,000 untuk Tabung Mangsa Gempa Bumi di Padang, Sumatera kepada Muhyiddin sebagai mewakili kerajaan Malaysia.

Hadir sama Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud; dua timbalannya, Tan Sri Dr. George Chan Hong Nam serta Tan Sri Alfred Jabu Numpang; Menteri Perumahan Sarawak, Datuk Seri Abang Johari Tun Openg dan barisan Kabinet negeri.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, beliau menyanjung usaha pemimpin dalam PBB yang turut dibantu parti komponen BN lain kerana meletakkan Sarawak antara negeri yang begitu stabil.

Katanya, kejayaan cemerlang yang dilakukan oleh PBB dan komponen parti di Sarawak memberikan keyakinan baru kepada rakyat bukan saja di negeri ini bahkan di seluruh negara mengenai kemampuan kepimpinan BN untuk membangunkan Malaysia.

No comments:

Post a Comment